Xiaomi telah melancarkan secara rasmi telefon pintar yang dikatakan terbaik di dunia, Xiaomi Mi 4 yang menawarkan prestasi terbaik pada harga yang berpatutan dan kini ia didapati dengan badan diperbuat logam, memberikannya penampilan premium.
Xiaomi Mi 3 yang dilancarkan sebelum ini menjadi salah satu peranti revolusi kerana menawarkan spesifikasi yang terbaik pada harga yang rendah. Kini syarikat dari China itu melancarkan pula model terbarunya, Xiaomi Mi 4 dengan spesifikasi lebih hebat. Namun spesifikasi hebat ini didatangkan juga dengan peningkatan harga yang signifikan.
Mi 4 didatangkan dengan skrin 5 inci 1080p serta spesifikasi yang hebat seperti pemproses quad core Snapdragon 801 2.5GHz yang disokong 3GB RAM. Seperti semasa pelancaran Mi 3 dahulu, Xiaomi mendakwa model terbarunya itu adalah telefon pintar paling pantas di dunia buat masa ini, satu fakta yang belum lagi terbukti memandangkan benchmark rasmi belum lagi didedahkan.
Perbezaan paling ketara antara model Mi 3 dan Mi 4 adalah badannya yang diperbuat dari logam, malah rekabentuk badannya kelihatan seperti diilhamkan iPhone 5. Bucu-bucunya telah dikemaskan dengan potongan bersudut bagi memberikan rasa premium kepadanya.
Dari segi kamera, ia dilengkapikan dengan kamera utama 13MP f/1.8 dengan sensor Sony IMX214 yang berkeupayaan mengambil video 4K, kamera hadapan resolusi tinggi 8MP f/1.8 dengan lensa sudut luas 80 darjah, memuatkan lebih ramai orang dalam sebuah gambar selfie.
Ia didatangkan dalam dua pilihan ruang simpanan iaitu 16GB dan 64GB eMMC 5.0, iaitu jenis ruang storan terpantas di pasaran. Walaubagaimanapun, ia tidak mempunyai slot kad Micro SD, sama seperti model sebelumnya, Mi 3. Sebagai tambahan, ia mempunyai IR blaster di bahagian atasnya bagi mengawal TV atau peralatan elektronik rumah yang lain.
Baterinya pula berkapasiti 3080mAh yang membolehkan ia digunakan selama satu hari setengah dengan sekali cas. Ia juga menyokong pengecasan pantas pada 9V/1.2A membolehkan ia dicas sebanyak 60% dalam masa sejam berbanding pengecas biasa 5v/2A yang hanya boleh mengecas 40% dalam masa satu jam.
Sebuah telefon Xiaomi tidak lengkap tanpa antaramuka MIUI “skin” Android yang merupakan antara “skin” terbaik di pasaran dengan menawarkan pelbagai bentuk penyesuaian dan kemaskini mingguan. Versi MIUI seterusnya akan hadir dalam masa sebulan. Dipanggil MUI 6.5, ia akan hadir pada 16 Ogos ini.
Berapa pula harganya? Agak mengejutkan kerana harganya, walaupun lebih daripada Mi 3, tidak jauh berbeza. Hara jualan bagi versi 16GB adalah CNY1999 iaitu lebih kurang RM1050 dan harga bagi versi 64GB pula adalah CNY2499 iaitu lebih kurang RM1300. Xiaomi yang menjangkakan tempahan yang banyak akan meningkatkan produksi bagi membekalkan 1 juta unit Mi 4 dalam 2 bulan ini. Versi TDD-LTE yang hanya boleh digunakan di China akan mula dijual di sana pada bulan September manakala versi 4G FDD-LTE yang digunapakai di kebanyakan negara lain termasuk Malaysia akan mula dijual tidak lama selepas itu.
Maklumat lanjut di laman web Mi 4.
Beli Xiaomi Mi 3 atau Xiaomi Mi 4?
Selain rekabentuk badan yang diperbuat dari logam, perbezaan besar antara Mi 3 dan Mi 4 ialah kebolehan LTE, pemproses dan GPU yang lebih pantas, jumlah RAM dan opsyen ruang storan yang lebih besar. Harga Mi 4 RM1050 untuk model 16GB dan RM1300 untuk model 64GB berbanding Mi 3 yang berharga RM769 untuk 16GB ruang storan.
Jadi, Mi yang manakah patut anda beli? Ternyata jika anda berkemampuan, dapatkanlah Mi 4, harganya tidaklah begitu tinggi berbanding telefon pintar seperti Samsung, LG, Motorola dan lain-lain. Namun jika anda dalam bajet yang agak ketat dan tidak memerlukan peranti yang begitu pantas, Mi 3 sudah cukup bagi anda. Namun, jika anda boleh meningkatkan bajet anda sedikit, dapatkanlah Mi 4 yang hanya tambahan lebih kurang RM 300.
Jika anda pengguna berat dan mengambil gambar/video setiap kali anda bangun tidur, makan, pergi kerja, buat kerja, makan tengah hari, minum petang, selepas mandi, sebelum tidur dan bercuti, dinasihatkan supaya mendapatkan model 64GB memandangkan telefon pintar ini tidak mempunyai slot kad SD untuk menambah ruang storan sekiranya anda mendapatkan model 16GB.
Apa pun, tontonilah video promosi Xiaomi Mi 4 di bawah.
0 comments:
Post a Comment