Setelah menghapuskan harapan untuk sebuah lagi telefon pintar Android, Nokia kini menumpukan usahanya dalam pengeluaran telefon pintar Nokia Lumia seperti Nokia Lumia 830 yang telah dikhabarkan akhir-akhir ini.
Windows Phone Central melaporkan ia menerima beberapa gambar dan butiran yang, jika benar, menjadi bukti bahawa telefon pintar Nokia Lumia 830 telah menerima pengesahan dan sertifikasi sekurang-kurangnya dari Brazil.
Badan kawal selia Anatel di Brazil merupakan badan yang mengeluarkan sertifikasi untuk sebarang telefon pintar yang memasuki negara tersebut, sama seperti SIRIM di Malaysia dan sekali-sekala, maklumat mengenai sesetengah telefon pintar akan bocor kepada umum.
Gambar-gambar yang dibocorkan kelihatan lebih kurang sama dengan gambar yang telah dibocorkan pada bulan Julai lepas, tetapi bingkai logam dalam gambar terbaru ini lebih kelihatan seperti plastik.
Berdasarkan apa yang didedahkan Anatel, telefon pintar tersebut lebih nipis berbanding telefon pintar Lumia sebelum ini dan menampilkan butang kamera fizikal dan butang navigasi kapasitif. Port pengecasan juga dialihkan semula ke atas, disebelah jek audio yang terletak di bahagian tengah.
Gambar yang dibocorkan juga menampilkan nama Microsoft Mobile di dalamnya, walaupun dijangka ia akan masih memegang jenama Nokia di bahagian luarnya. Kelihatan juga bateri boleh tanggalnya dan slot Micro SD serta bahagian kamera yang agak besar menunjukkan ia mungkin dilengkapi kamera PureView.
Daripada gambar yang dibocorkan ini, Lumia 830 kelihatan seperti campuran antara telefon pintar berspesifikasi tinggi dan sederhana dan memandangkan ini kebocoran maklumat kedua dalam masa 2 bulan, mungkin ia akan diumumkan tidak lama lagi.
Nice and quite informative post. I really look forward to your other posts.
ReplyDeleteAlienware Laptops