Terdapat beberapa projek daripada pembangun pelayar web dalam usaha menjimatkan penggunaan data. Salah satu yang popular adalah Opera Turbo daripada pembangun Opera. Kini, Mozilla turut sama menawarkan fungsi yang lebih kurang sama melalui pemalam mereka yang dinamakan sebagai Janus.
Untuk menjayakan perkara ini, Janus menggunakan sebuah pelayan proxy, dimana ia menjadi pengantara antara pelayar web yang digunakan oleh pengguna dengan dunia Internet. Setiap trafik pelayaran melaluinya, dan beberapa perkara dioptimasikan dalam menjimatkan penggunaan data pengguna.
Melalui penggunaan Janus ini, pihak Mozilla menyasarkan untuk mengurangkan penggunaan data jalur-lebar, disamping pada masa yang sama meningkatkan kadar respon untuk laman-laman yang mempunyai kadar pemuatan yang rendah. Secara tidak langsung, Janus turut mengurangkan masa yang diambil untuk membuka sesuatu web, disamping meningkatkan kadar privasi pengguna.
Buat masa ini, pemalam Janus ini ditawarkan dalam bentuk versi pembangunan, dan memerlukan pengguna menggunakan Firefox versi Nightly atau Aurora untuk dapat mencubanya.
Berdasarkan penggunaan kami, sebaik sahaja memasangnya, ia akan mengaktifkan terus sokongan proxy server, dan pengguna boleh melihat data yang dijimat dengan klik padanya. Pengguna turut boleh mematikan sokongan Janus ini dengan hanya satu klik.
Melalui halaman tetapan juga, Janus menawarkan beberapa fungsi tambahan, termasuk untuk mematikan iklan, dan juga sokongan untuk mengubah GIF ke Video.
Buat masa ini, penggunaan server proxy hanya terhad kepada laman-laman berbentuk HTTP sahaja, dan tidak berfungsi untuk laman HTTPS.
Selain daripada digunakan pada pelayar web destkop, Janus turut boleh digunakan pada pelayar web mudah-alih Mozilla Firefox untuk Android – tetapi untuk versi Firefox 32 dan terkini sahaja. Ia juga mungkin memainkan peranan penting untuk pengguna peranti mudah-alih, memandangkan kuota data pada peranti mudah-alih adalah agak terhad berbanding penggunaan pada desktop.
Bagi anda yang ingin mencubanya, mungkin boleh memasang pemalam ini pada pelayar web Firefox (Aurora atau Nightly) dan melihat prestasinya sendiri.
0 comments:
Post a Comment