Khabar mengenai tablet 8 inci Nexus 8 tidak henti-henti. Namun kini ia berkemungkinan lebih tinggi untuk dilancarkan dalam masa terdekat dengan kemunculan gambar yang menujukkan apa yang dipercayai tablet kecil itu.
Gambar yang menunjukkan apa yang dipercayai tablet Nexus 8 yang diletakkan di dalam casing keselamatan dihantar ke laman web MyDrivers.com. Malangnya disebabkan ini, kita tidak dapat melihat perincian rekabentuknya dan juga sukar menilai ketulenan gambarnya.
Namun, sumber yang membocorkan gambar ini berkata, tablet ini akan dilengkapi 3GB RAM, Android 4.5 dan yang paling menarik ialah ia mungkin dilengkapi pemproses Qualcomm 64bit. Ini bukan kali pertama khabar mengenai pemproses 64 bit timbul, namun ini suatu berita yang besar kerana selama ini peranti Android hanya mempunyai cip 32 bit.
Pemproses 64 bit boleh membawa kepada prestasi yang lebih tinggi, tetapi kelebihan utamanya ialah ia menyokong jumlah RAM lebih daripada 4GB, suatu yang tidak boleh dicapai dengan pemproses 32 bit.
Jika Nexus 8 didatangkan dengan hanya 3GB RAM, sebuah cip 64 bit tidak banyak memberi kesan kepada prestasinya. Tetapi ia sekurang-kurangnya menunjukkan Google sedang mempersiapkan Android peranti masa hadapannya yang dilengkapi pemproses 64 bit, sekaligus mempertingkatkan sempadan prestasi tabletnya.
Jika benar Nexus 8 akan dilancarkan tidak lama lagi, ia mungkin akan diperkenalkan pada acara Google I/O hujung bulan ini. Pada masa itu banyak lagi maklumat boleh diperolehi.
0 comments:
Post a Comment