Pelayar web Google Chrome sudah hampir menguasai hampir separuh daripada pasaran pelayar web namun mungkin tanpa pengetahuan sesetengah pihak, ia mempunyai satu masalah di mana ia akan menghabiskan tenaga bateri laptop Windows pengguna walaupun pemprosesnya dalam keadaan melahu.
Google Akan Menyelesaikan Masalah Bateri Berkaitan Google Chrome
PCWorld melaporkan bahawa Google akhirnya akur kepada keluhan pengguna mengenai masalah penghabisan tenaga bateri laptop Windows yang dikaitkan dengan pelayar web Google Chrome. Penghabisan tenaga bateri ini berlaku walaupun pemproses laptop tersebut sedang dalam keadaan melahu.
Masalah itu pertama kali ditimbulkan dalam satu laporan Forbes yang menerangkan bagaimana Google Chrome gagal memulihkan semula pemproses laptop ke satu mod yang lebih efisyen tenaga, walaupun pelayar tersebut “direhatkan” di latarbelakang. Laporan tersebut menyalahkan “sistem kadar detik jam” 1 milisaatnya, yang mana dakwa Microsoft akan meningkatkan penggunaan tenaga sebanyak 25%, bergantung kepada bagaimana perkakasan ditetapkan.
Laporan itu juga menyebut kebanyakan perisian Microsoft termasuk Internet Explorer akan kembali ke kadar jam 15.625 milisaat secara lalai yang menyebabkan laptop akan kurang kerap “bangun” dari keadaan melahu.
Lebih teruk lagi bagi Google, masalah tersebut pertama kali dilaporkan kepadanya pada tahun 2010 tetapi gagal mendapat sebarang respon dari pasukan Chromium sehingga November 2012. Itu pun ia masih lagi tidak berjaya menyelesaikan masalah itu sehingga kini.
Namun kini, memandangkan ia mendapat perhatian ramai, Google mengesahkan ia sedang menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan meletakkan pepijat itu keutamaan tahap satu dalam laporan pepijat dalamannya.
Memandangkan tarikh pengeluaran kemas kini bagi menyelesaikan masalah tersebut belum diketahui, pengguna laptop Windows dinasihatkan supaya menutup sahaja tetingkap Google Chrome apabila ia tidak digunakan.
0 comments:
Post a Comment