Telefon Pintar Tizen Ditangguhkan Penjualannya
Samsung telah menangguhkan penjualan telefon pintar Tizen pertamanya di Russia ke satu tarikh yang belum ditentukan dan menurut jurucakap syarikat itu, ia akan terus bekerjasama dengan ahli Persatuan Tizen dalam membangunkan OS tersebut serta ekosistemnya.
Dengan kata lain, Samsung mahu membangunkan lebih banyak aplikasi untuk ekosistem Tizen sebelum melancarkan telefon pintar kepada umum. Alasan yang munasabah memandangkan ia akan bersaing rapat dengan platform iOS dan Android yang sememangnya telah tersedia dengan jauh lebih banyak aplikasi untuk pengguna.
Walaupun membatalkan pelancaran peranti tersebut, Samsung tetap mengadakan acara di Moscow dengan kehadiran 150 pembangun, iaitu separuh daripada yang dijangkakan hadir. Memandangkan pelancaran Samsung Z dibatalkan, syarikat itu mengambil kesempatan untuk mempamerkan prototaip peranti yang sedang ia bangunkan.
Wakil Samsung bahagian Russia, Dmitry Anosov, naik ke pentas dan menerangkan kepada hadirin bahawa kelebihan utam membangunkan aplikasi untuk Tizen ialah pembangun mendapat peluang yang besar untuk mencapai tempat teratas dalam gedung aplikasi yang hampir kosong yang disokong oleh sebuah peranti premium.
Tidak pasti samada dia berjenaka, namun ia secara tidak langsung menunjukkan tahap kritikal gedung aplikasi Tizen sedia ada.
Namun, pembangun seolah-olah tidak terkejut dengan penangguhan yang berlaku memandangkan OS tersebut telah banyak kali tertangguh sebelum ini.Satu ketika dahulu ia dijangka dilancarkan pada acara Samsung Unpacked 5 pada MWC 2014.
0 comments:
Post a Comment