Sebuah laporan The Financial Times yang memetik sumber-sumber boleh dipercayai mengatakan Apple sedang membangunkan sebuah platform perisian yang membolehkan peranti iOS mengawal setiap aspek rumah pintar seperti lampu, suhu, keselamatan dan banyak lagi.
Laman web tersebut menjangkakan Apple akan melancarkan sejenis platform rumah pintar yang serasi dengan iOS di acara Worldwide Developer Conference (WWDC 2014) di San Francisco pada 2 Jun ini.
Platform perisian itu dilaporkan lebih kurang sama dengan program Made For iPhone (MFI) Apple dengan platform tersebut dibina dalam peranti iOS, tetapi terbuka kepada pembangun pihak ketiga. Sebagaimana pengeluar perkakasan boleh mengeluarkan alat kawalan rasmi MFI, begitu jugalah bagaimana pengeluar peranti pintar boleh mengeluarkan peranti pintar yang boleh berinteraksi dengan platform Apple melalui peranti iOS.
Kawalan juga tidak terhad kepada kawalan secara manual seperti menghidupkan lampu dan penghawa dingin, malah fungsi-fungsi berasaskan lokasi juga boleh, sebagai contoh, menghidupkan lampu apabila pengguna memasuki bilik di mana lampunya telahpun dipasangkan dengan peranti iOS miliknya.
Apple dilihat cuba untuk memotong Google dalam aspek kawalan rumah pintar. Syarikat enjin pencarian itu telah mengambilalih syarikat pengeluar termostat pintar Nest tidak lama dahulu dan satu cadangan dari Google mengatakan secara teori, Google boleh menghantar iklan terus ke rumah pintar pengguna.
Idea rumah pintar mungkin belum lagi popular, tetapi penglibatan Apple mungkin akan mempercepatkan proses penerimaan peranti pintar seperti termostat pintar, lampu dan peralatan rumah di kalangan konsumer.
0 comments:
Post a Comment