This is Aura Territory

Kami adalah 100% syarikat Bumiputera

6 Fungsi Baru Yang Terdapat Pada iPhone 6 dan iPhone 6 Plus Berbanding iPhone 5s

Pada pengumuman Apple semalam mereka telah mengumumkan iPhone generasi ke-enam mereka iaitu iPhone 6 dan juga versi phablet untuknya iaitu iPhone 6 Plus. Peranti terbaru mereka turut membawakan perubahan kepada model lain, selain akan disertakan iOS8 bersama-samanya. Sekiranya anda pengguna iPhone yang lama atau anda bercadang untuk mendapatkan iPhone terbaru ini, berikut merupakan perubahan yang dibawakan berbanding iPhone versi terdahulu.

Apple iPhone 6

240 Frame Per Second untuk video gerak perlahan

Sekiranya anda seorang yang suka merakam video menggunakan telefon pintar anda, fungsi ini sudah tentu menarik minat anda dalam menghasilkan video gerak perlahan. Dengan resolusi video setinggi 1080p, anda boleh merakam video gerak perlahan pada pilihan 120 frame per second atau 240 frame per second yang akan menampakkan lebih perincian terhadap video tersebut.

Optical Image Stabilization pada iPhone 6 Plus

Satu lagi fungsi yang bakal memberikan faedah baik kepada pengguna yang menyukai fungsi rakaman video mahupun pengguna biasa adalah penstabil optikal pada iPhone 6 Plus. Berbanding iPhone 5S dan iPhone 6 yang menggunakan penstabil berdasarkan perisian, kamera yang dibawakan iPhone 6 Plus mempunyai penstabil yang membantu menstabilkan rakaman oleh pengguna.

Apple iPhone 6

Cip Apple A8 dan M8 Motion Co-processor

Cip pemprosesan terbaru dari Apple ini merupakan kemaskini kepada A7 dan mempunyai empat teras. Berbanding cip pemprosesan yang lama iaitu A7, cip ini dikatakan hanya memerlukan 50% kuasa sekaligus menjimatkan bateri meskipun perlu menjana kualiti grafik yang tinggi. Apple juga mengatakan cip terbaru ini 25% lebih laju untuk pemprosesan manakala kualiti grafiknya 50% lebih baik berbanding A7. Melalui demonstrasi oleh pembangun permainan semalam, ia dikatakan mampu menjana sehingga 100 model dengan animasi pada sesuatu masa. Bagi anda yang inginkan iPhone untuk tujuan permainan video, sudah tentu iPhone 6 mampu menampung nafsu anda.

Sekiranya anda seorang yang membawa telefon bimbit anda untuk mengesan kecergasan anda ataupun menyangkutkan ia pada penyangga di basikal bagi mengesan aktiviti anda, dengan M8 Motion Co-processor merupakan cip kedua pada iPhone generasi ke-enam dan membantu anda menyukat segala data ini. Perkara ini sekaligus mengurangkan kegunaan bateri kerana cip ini sentiasa aktif dan boleh mengira bilangan tangga serta tekanan udara melalui barometer.

Apple iHealth

Paparan lebih besar dan Paparan Retina HD untuk iPhone 6 Plus

Buat pertama kalinya paparan iPhone dilebarkan berbanding dipanjangkan.  Paparan iPhone generasi ke-6 membawakan paparan Retina HD. Paparan iPhone 6 adalah sebesar 4.7 inci dengan 1334 x 750 pixel dan paparan iPhone 6 Plus pula membawakanskrin 5.5 inci HD penuh 1080p (1920 x 1080). Sekiranya anda berkira-kira untuk mempunyai iPad Mini namun mahukan fungsi telefoni, iPhone 6 Plus semestinya pilihan yang memenuhi kehendak anda.

iPhone 6

Pada hemat saya juga, semasa saya menggunakan iPhone 5, tidak banyak peranti besar melainkan kelas phablet dan saya tidak sukakan phablet. Namun apabila pasaran peranti dengan skrin bersaiz 5 inci makin banyak dan saya mencuba peranti seperti Asus Zenfone 5 dan Oppo N1, saya kini merasakan iPhone 5 saya kecil. Pembesaran saiz baru ini semestinya turut ditunggu-tunggu peminat peranti iPhone.

Sokongan pembayaran Apple Pay

Google Wallet telah diperkenalkan sejak dari 2011 akan tetapi sejauh manakah impaknya pada hari ini? Itu menyebabkan Apple tampil dengan Apple Pay yang dilihat lebih praktikal digunakan bersama teknologi NFC dan Touch ID. Menggunakannya, pengguna boleh membuat pembayaran dengan mudah selain mana pihak Apple mengatakan ia lebih selamat berbanding penggunaan dompet biasa seperti hari ini. Menurut Apple, ia bakal disokong oleh sejumlah besar gedung-gedung ternama (seperti di Amerika Syarikat) dan bakal diperluaskan ke negara-negara lain pada masa akan datang.

Apple Pay

Kuasa bateri yang lebih baik

iPhone generasi ke-enam turut membawakan kapasiti bateri yang lebih besar dan membawakan peningkatan hayat bateri yang lebih lama berbanding sebelumnya. Menurut Apple, iPhone 6 mampu bertahan sehingga 11 jam untuk pelayaran web melalui WiFi dan juga tontotan video melalui peranti ini. Pada penggunaan muzik pula, iPhone 6 memberikan ekstra 10 jam tambahan berbanding iPhone 5s, menjadikan ia mampu bertahan selama 50 jam untuk kebolehan dalam memainkan audio.

Peningkatan pada jangka hayat bateri iPhone turut dipertingkatkan pada iPhone 6 Plus yang mana mampu bertahan sehingga 12 jam untuk pelayaran web melalui WiFi. Dari segi kebolehan multimedia, iPhone 6 Plus dilihat bertahan lebih lama yang ia mana mampu memainkan muzik selama 80 jam dan video selama 14 jam.

Apple iPhone 6

Penutup

Dari segi spesifikasi, Apple dilihat tidak berminat untuk bertanding dalam ‘specification war’ dan iPhone 6 tidak sepatutnya dibandingkan dengan peranti selain iOS. Ia suatu yang tidak adil atas kerana cara sistem operasi iOS adalah berbeza, terutamanya dari segi penggunaan memori. Bagi saya, orang yang membandingkan iPhone dan telefon Android sebenarnya orang yang dibutakan dengan spesifikasi, berbanding melihat kelebihan pada pengoptimasian sistem operasi, kekuatan ekosistem, dan nilai eksklusiviti aplikasi iOS. Sekiranya anda seorang yang gilakan spesifikasi, iPhone (tidak kira generasi dulu, kini, dan selamanya) adalah bukan untuk orang seperti anda.

Kekuatan iPhone adalah terletak di aplikasinya, yang mana ia menawarkan user interface dan user experience (UI/UX) yang terbaik dalam mana-mana sistem operasi mudah-alih. Perkara ini boleh dilihat sendiri melalui aplikasi Facebook Paper dan Opera Coast yang hadir dengan grafik dan animasi yang intuitif dan saya yakin, kedua-dua aplikasi ini tidak akan berada di platform Android. iOS juga mempunyai beberapa aplikasi yang eksklusif seperti Mextures, Tangent, LoryStripes, dan Exbel yang menawarkan fungsi pengeditan gambar yang superior yang mana ia tidak akan dapat pada mana-mana sistem operasi lain. Satu lagi contoh aplikasi lain yang bakal membuka mata anda dengan iOS, cari dan muat-turun aplikasi Matter di App Store.

iOS 8

Satu perkara yang menjadi sebab ramai memilih iPhone adalah kekuatan kameranya. Saya tekankan bahawa megapiksel adalah bukan segala-segalanya tapi yang penting adalah teknologi lensa disebalik kamera peranti daripada Apple ini. Sebelum saya memakai iPhone, saya sendiri berasa cemburu melihat rakan-rakan saya yang mempunyai iPhone di Instagram yang mana gambar-gambar yang di hantar oleh mereka sangat tajam dari segi detail serta mempunyai kawalan warna yang sangat terang pada gambar yang diambil. Perkara ini dijayakan dengan sensor daripada Sony seperti Sony IMX145 yang mula digunakan sejak dari zaman iPhone 4s. Ia menawarkan kesan depth-of-field yang cemerlang pada peranti sekelasnya, sekaligus menawarkan hasil output yang terang dan sharp melalui penggunaan kamera daripada peranti ini.

Rata-rata pengguna setia iPhone juga amat berpuas hati dengan telefon mereka kerana ia hadir dengan sokongan kemaskini sehingga empat tahun lamanya. Kemaskini adalah suatu yang sangat penting bagi iPhone kerana ia bergerak seiring dengan penggunaan API yang dikeluarkan setiap kali pelancaran iOS versi baru. Perkara inilah menyebabkan mengapa ada sesetengah aplikasi di iPhone mempunyai lebihan fungsi berbanding aplikasi yang sama di platform-platform lain. Satu lagi menjadi kesukaan pengguna, kebanyakan aplikasi akan tiba di platform iOS terlebih dahulu berbanding di platform lain, seperti contoh aplikasi Hyperlapse daripada Instagram baru-baru ini.

iOS 8

Secara keseluruhan, Apple telah melakukan yang terbaik untuk iPhone 6 yang mana beberapa pengoptimasian telah dibuat berbanding iPhone generasi sebelumnya. Ia menawarkan saiz skrin yang lebih besar dalam sejarah peranti iPhone dan juga rekabentuk yang lebih nipis berbanding iPhone 5s sebelum ini. Prestasi keseluruhannya turut dinaiktaraf melalui penggunaan Apple A8 dan kamera 8-megapikselnya turut ditingkatkan dari segi teknologi sensor, demi menghasilkan output yang lebih terang, mapan, dan jitu berbanding generasi sebelumnya.

Ia juga menawarkan beberapa fungsi baru seperti Apple Pay iaitu mekanisma pembayaran yang bercirikan keselamatan tinggi melalui penggunaan Touch ID. Ia suatu yang bakal merevolusikan medium pembayaran atas kebolehannya yang lebih praktikal dan saya yakin, banyak pengeluar lain akan mengikut jejak langkah ini dalam mengoptimasikan mekanisma pembayaran NFC mereka.

Apapun, ia dilihat sebuah peranti yang berdaya saing dengan kebolehan sistem operasinya yang stabil, mudah-digunakan serta menawarkan pengalaman pengguna dan ekosistem yang terbaik dalam sejarah sistem operasi mudah-alih.

Apple iPhone 6 bakal menjengah pengguna tempatan pada akhir tahun ini dan dijangka akan dijual bermula RM2399 manakala iPhone 6 Plus bakal ditawarkan bermula RM2749 bagi versi 16GB.

0 comments:

Post a Comment